Thursday, October 30, 2008

RIYA, UJUB DAN SOMBONG



RIYA', UJUB DAN SOMBONG..
Sifat riya', ujub dan sombong merupakan sifat-sifat yang terkeji menurut kacamata Islam. Sebagai seorang Islam, kita perlu sedaya upaya mengelak daripada mempunyai ketiga-tiga sifat tersebut kerana sifat-sifat tersebut boleh menjadi penghalang terbesar untuk mencapai kesempurnaan. Sifat-sifat tersebut boleh merobah kehidupan manusia dari mulia kepada hina dan dari kuat menjadi lemah. Manusia mudah leka dari mengingati Allah S.W.T. dan merupakan suatu penyakit yang berbahaya yang boleh mengakibatkan bencana bagi sesiapa yang melakukannya.
Riya' merupakan sifat orang-orang munafik dan syirik. Ia amat bertentangan dengan iman dan tauhid. Allah S.W.T. sangat membenci orang yang bersifat riya' dan Allah S.W.T. menjanjikan siksa dan hukuman terhadap orang yang mempunyai sifat ini sebagaimana firman-NYA di dalam Surah al-Ma'un ayat 4 - 7 yang bermaksud : "Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang solat, (iaitu) orang-orang yang lalai dari solatnya, orang-orang yang berbuat riya' dan enggan (menolong dengan) barang berguna". Hakikat riya' itu ialah jika orang yang dalam berbuat ibadat kepada Allah S.W.T. mempunyai kemampuan untuk mendapat kehormatan dan perhargaan daripada manusia. Oleh demikian, riya' boleh kita gambarkan seperti berikut :
1. Bertambah taatnya jika dipuji dan berkurang bahkan ditinggalkannya jika dicela atau diejek.2. Rajin beribadah jika bersama orang lain dan malas melakukannya jika bersendirian.3. Bersedekah jika orang melihatnya, namun tidak berbuat demikian jika tidak dilihat orang.4. Melakukan amal dan berbuat kebajikan bukan kerana Allah, sebaliknya menginginkan sesuatu daripada manusia.
Manakala ujub dan sombong pula diharamkan dan kita disuruh untuk menjauhinya. Firman Allah S.W.T. di dalam Surah al-Hadid ayat 14 yang bermaksud : "Dan kamu ragu-ragu serta ditipu oleh angan-angan kosong, sehingga datanglah ketetapan Allah. Dan kamu telah ditipu terhadap Allah oleh (Syaitan) yang amat penipu". Hadith Rasulullah S.A.W. juga ada menyatakan yang bermaksud : "orang yang pintar ialah orang yang merendahkan dirinya dan beramal untuk bekal sesudah mati. Dan orang bodoh ialah orang yang memperturutkan hawa nafsunya dan mengharapkan kepada Allah dengan berbagai harapan dan angan-angan". Contoh kisah-kisah yang boleh kita ambil iktibar berkenaan sifat-sifat ujub dan sombong ini adalah seperti berikut :
1. Iblis yang sombong dengan dirinya kerana asal kejadian dirinya. Ia berkata : Engkau jadikan aku dari api dan manusia dari tanah. Maka Allah S.W.T. mengusir Iblis dari rahmat-NYA.2. Nabi Sulaiman lalai kepada Allah dan kepada Nabi Muhammad S.A.W. Sulaiman berkata : "aku meniduri seratus orang perempuan dalam semalam. Setiap perempuan akan melahirkan seorang anak yang akan berjihad di jalan Allah". Nabi Sulaiman lalai tidak menyatakan insyaallah. Maka Allah mengharamkan dia untuk memperoleh anak.3. Sahabat-sahabat Nabi Muhammad S.A.W. merasa bangga dengan banyaknya pasukan pada waktu peperangan Hunain. Mereka berkata : "Hari ini kami tidak akan kalah oleh musuh yang sedikit". Lalu mereka ditimpa kekalahan yang pahit, hingga bumi yang luas itu terasa sempit oleh mereka. Kemudian mereka lari dengan bercerai-cerai.
Di antara bentuk-bentuk sombong adalah seperti berikut :
1. Dalam ilmu. Orang yang bangga dan sombong kerana banyak ilmunya. Hal demikian menyebabkan mereka tidak mahu menambah ilmu dan menganggap rendah atau meremehkan orang lain yang tidak berilmu. Perkara seperti ini cukup untuk membawa malapetaka kepada mereka.2. Dalam harta. Kadang-kadang orang menjadi sombong kerana banyak harta dan kekayaan, lalu ia menghambur-hamburkan kekayaan dan mempersendakan kebenaran hingga ia menjadi binasa akibatnya.3. Dalam kekuatan. Kadang-kadang orang kagum dengan kekuatannya. Lalu menjadi sombong kerana kekuasaannya. Sehingga ia berlaku aniaya dan zalim. Lalu ia bertaruh dan menyabung nyawa. Akhirnya rosak dan binasa.4. Dalam kemuliaan. Kadang-kadang orang kagum dengan kemuliaannya. Dengan menyombongkan keturunan dan asal usulnya. Lalu ia berpangku tangan tidak berusaha mencari ketinggian. Dan ia pun menjadi lemah dalam mencapai kesempurnaan. Akhirnya ia jadi hina sehina-hinanya.5. Dalam beribadah. Kadang-kadang orang kagum dengan amal ibadatnya. Ia menjadi sombong karana banyak ibadatnya. Ini menyebabkan ia meremehkan Tuhannya dan mengecilkan erti pemberian-NYA. Dengan demikian, jatuhlah amal dan celakalah kerana ujub dan kesombongannya.
Cara mengubati penyakit-penyakit seperti ini ialah dengan mengingati dan menyedari bahawa apa yang diberikan Allah S.W.T. yang berupa ilmu, harta, kekuatan atau kemuliaan boleh diambil-NYA kembali jika mengkehendakinya. Amal ibadat seseorang kepada Tuhannya meskipun banyak tidaklah akan dapat mengimbangi nikmat yang diberikan Allah kepada hamba-NYA. Sesungguhnya nikmat Allah tidak boleh diukur dengan sesuatu kerana Allah adalah sumber segala kurniaan dan yang memberi segala kebaikan. Rasulullah S.A.W. pernah bersabda yang bermaksud : "Amal seseorang daripada kamu tidak akan menjadikan dia selamat. Mereka berkata : Termasuk engkau ya Rasulullah?, Ya aku juga. Namun Allah memenuhiku dengan rahmatnya". (Riwayat Bukhari).
geovisit();

No comments: