Monday, November 3, 2008

MAKNA ILAH DALAM ASAL BAHASA ARAB

Makna (إله) ilah dalam asal bahasa Arab
Sebenarnya makna kalimah (إله)ilahini luas pengertiannya dalam bahasa Arab. Untuk memahaminya kita perlu mengetahui kata akarnya dalam bahasa Arab itu sendiri. Asal perkataan (إله)ilah dalam bahasa Arab ialah (daripada tiga huruf iaitu): (الألف) Alif, (اللام) Lam, dan (الهاء) Ha'. Iaitu membentuk kata kerja (َألِهَ) aliha. Disebut dalam kamus Lisan al-'Arab mengenai makna (َألِهَ) aliha : Merasa takjub atau bingung : (أَلِِهَ يألَهُ إذا تحير، لأن العقول تَأْلَه في عظمته)Merasa bimbang atau takut : (وقد ألِهْتُ على فلان أي اشتدّ جَزَعي عليه)Mendapatkan perlindungan : (ألِهَ يألَهُ إلى كذا أي لَجَأ إليه لأن سبحانه لمَفْزَع الذي يُلْجأ إليه في كل أمر)Telah disebut juga dalam kamus-kamus bahasa Arab mengenai makna perkataan ini sebagaimana berikut :Merasa tenang dan tenteram : (إذا سَكَنتُ إليه واطْمَأننتُ :ألِِهْتُ إلى فلان)Memohon perlindungan : (ألِِهَ الرجلُ يألَهُ: إذا استجار)Merasa rindu : (ألِِهَ الرجل إلى الرجل: إتجه إليه لشدة شوقه)Merasa sangat cinta dan kasih : (ألِِهَ الفصيل بأمه: إذا وَلِعَ بها)Menyembah : (ألِِهَ إلاهة وألوهةَ)Sekiranya kita perhatikan kesemua makna-makna di atas, ianya membawa kepada pengertian yang hampir sama dan saling terikat di antara satu sama lain. Kerana kita hanya akan memohon perlindungan dan pertolongan kepada seseorang yang kita paling suka serta senang hati kepadanya, juga yang paling kita kasih serta sayang kepadanya dan yang kita rasakan lebih kuat dan berkemampuan untuk mempertahankan diri kita. Kerana kita merasakan diri kita lemah dan tidak berdaya.Maka dengan ini, makna-makna yang lain bagi (إله) ilah ialah: Sesuatu yang disukai, sesuatu yang memberi ketenteraman serta ketenangan, sesuatu yang dimohon perlindungan serta pertolongan kepadanya, sesuatu yang dikasihi lagi dicintai, sesuatu yang dirindui, sesuatu yang disembah dan diabdikan diri kepadanya. Dengan ini apabila kita menyebut: أَشْهَدُ أَن لاََّ إِلَهَ.. Bererti kita telah membuat penyaksian dan pengakuan bahawa TIADA satu pun tuhan yang layak untuk kita sembah dan diberikan pengabdian diri kepadanya.Ini adalah syahadah kita untuk menafikan dan menolak kewujudan segala bentuk 'tuhan' dan perkara atau unsur yang kita jadikan sembahan dan dipertuhankan. Juga kita menafikan serta menolak segala sesuatu untuk kita mendapatkan ketenangan, memohon perlindungan, meletakkan pergantungan serta bertawakkal, memberikan rasa kecintaan, kerinduan, kecenderungan hati, takut dan sebagainya. Makna kalimah (إلاّ) illaKalimah ini adalah memberi maksud pengecualian (أداة استثناء). Iaitu mengecualikan sesuatu daripada penafian. Seperti: (كل شيء ينقص بالإنفاق إلا العلم) : "Semua perkara yang diberikan akan berkurang kecuali ilmu". ALLAH Adalah Tuhan Yang Sebenar-benarnya (الإله) Maka ilah atau tuhan yang layak disembah dengan sebenar-benarnya adalah ALLAH S.W.T sebagaimana yang dinyatakan melalui firman-NYA:(bermaksud):"Maka ketahuilah (wahai Muhammad), bahawa sesungguhnya tiada tuhan (yang berhak disembah dengan sebenar-benarnya) melainkan ALLAH,.." -Surah Muhammad: 19Setelah kita memahami makna (إله) ilah sebagaimana yang telah dihuraikan sebelum ini, marilah kita memerhatikan pula ayat-ayat al-Quran yang menjelaskan secara nyata bahawa ALLAH adalah (الإله) al-ilahatau TUHAN dengan sebenar-benar pengertian.ALLAH Adalah TUHAN Yang Memberikan KetenanganBagi orang-orang yang beriman, mereka merasakan ketenangan dan ketenteraman hanyalah daripada ALLAH dan tiada yang lain. Firman ALLAH Ta'ala:(bermaksud): "Orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan mengingati ALLAH". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia." –Surah al-Ra'd: 28. Firman ALLAH lagi: (bermaksud): "Dan Allah tidak menjadikan (bantuan malaikat) itu melainkan sebagai berita gembira dan supaya hati kamu tenang tenteram dengannya." –Surah al-Anfal: 10Manakala orang-orang yang kafir mereka merasakan ketenteraman dan ketenangan itu terdapat pada kehidupan dunia dan mereka berlebih-lebihan dalam 'menyembah' dunia ini serta berharap tidak akan mati selama-lamanya. Maka dunia telah menjadi 'tuhan' bagi mereka. Firman ALLAH: Maksudnya: "Sesungguhnya orang-orang yang tidak mengharapkan pertemuan dengan KAMI, dan yang reda (berpuashati) dengan kehidupan dunia serta merasa tenang tenteram dengannya, dan orang-orang yang tidak mempedulikan ayat-ayat KAMI, - Mereka itu tempat tinggal mereka (di akhirat) ialah neraka; disebabkan apa yang mereka telah lakukan." –Surah Yunus: 7-8ALLAH Adalah TUHAN Untuk Memohon Perlindungan Manusia tidak akan terlepas daripada ancaman dan kelemahan diri dalam menjalani kehidupan yang penuh dengan ujian dan dugaan. Menyedari hakikat ini, mereka sentiasa memerlukan perlindungan dan pertolongan dari Yang Maha Kuasa. Bagi orang-orang yang beriman, ALLAH adalah TUHAN untuk mereka mendapatkan perlindungan dan memohon pertolongan. Firman ALLAH Ta'ala:(bermaksud): "Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari syaitan, maka mintalah perlindungan kepada ALLAH, sesungguhnya ALLAH Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui." –Surah al-A'raf: 200. Firman ALLAH lagi: (bermaksud): "(Nabi Musa berkata): "Aku berlindung kepada ALLAH daripada menjadi dari kalangan orang-orang yang jahil". –Surah al-Baqarah: 67Manakala bagi orang-orang yang kafir, mereka mencari perlindungan kepada selain ALLAH. Maka segala yang mereka mohonkan perlindungan kepadanya itu adalah 'tuhan-tuhan' mereka yang menyesatkan. Sama sekali tiada pertolongan yang akan mereka perolehi melainkan kebinasaan. Firman ALLAH Ta'ala: (bermaksud): "Dan bahawa sesungguhnya terdapat beberapa orang lelaki dari kalangan manusia meminta perlindungan kepada beberapa orang lelaki dari golongan jin. Lalu dengan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat." –Surah al-Jin: 6. Firman ALLAH lagi: (bermaksud): "Mereka menyembah beberapa tuhan yang lain dari ALLAH, (dengan harapan) semoga mereka mendapat pertolongan. Benda-benda yang mereka sembah itu tidak dapat sama sekali menolong mereka,". –Surah Yasin: 74-75ALLAH Adalah TUHAN Untuk Bertawakkal Kepada-NYAFirman ALLAH Ta'ala:(bermaksud): "Oleh itu, bertawakkallah kepada ALLAH, sesungguhnya engkau berada di atas kebenaran yang jelas nyata." –Surah al-Naml: 79. Firman ALLAH lagi:(bermaksud): "..Dan kepada ALLAH jualah hendaklah kamu bertawakkal, jika benar kamu orang-orang yang beriman". –Surah al-Maidah: 23Orang-orang yang beriman akan melakukan usaha dan bertawakkal kepada ALLAH. Manakala orang-orang yang kafir hanya meletakkan keyakinan pada usaha mereka semata-mata.ALLAH Adalah TUHAN Yang Dicintai Lagi DikasihiDi antara sifat-sifat golongan mukminin ialah mereka sangat cinta kepada ALLAH mengatasi kecintaan terhadap perkara-perkara yang lain. Maka ALLAH adalah TUHAN yang selayaknya diberikan seluruh rasa kecintaan dan kecenderungan hati kita. Firman ALLAH Ta'ala:(bermaksud): "..dan orang-orang yang beriman sangat cinta kepada ALLAH" –Surah al-Baqarah: 165. Firman ALLAH lagi: (bermaksud): ".. maka ALLAH akan mendatangkan suatu kaum yang DIA kasihkan mereka dan mereka juga kasih kepada-NYA; ". –Surah al-Maidah: 54Manakala bagi orang-orang yang kafir dan fasik, terdapat perkara-perkara lain yang lebih mereka cintai daripada ALLAH atau menyamakannya dengan kecintaan mereka kepada 'tuhan-tuhan' yang lain. Firman ALLAH:(bermaksud): "Dan Berkata Ibrahim: "Sesungguhnya berhala-berhala yang kamu sembah selain Allah adalah untuk menghubungkan perasaan kasih sayang di antara kamu dalam kehidupan dunia ini." –Surah al-Ankabut: 25. Firman ALLAH lagi: (bermaksud): "Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan rugi, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu lebih cintai daripada ALLAH dan Rasul-NYA dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga ALLAH mendatangkan keputusan-NYA; kerana ALLAH tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik;" –Surah al-Taubah: 24. Firman ALLAH lagi:(bermaksud): "Di antara manusia ada yang mengambil selain dari ALLAH (untuk menjadi) sekutu-sekutu (yang setanding), mereka mencintainya sebagaimana mereka mencintai ALLAH;" –Surah al-Baqarah: 165ALLAH Adalah TUHAN Yang DirinduiBagi orang-orang yang beriman, mereka merasa rindu untuk bertemu ALLAH. Firman ALLAH:(bermaksud): "Oleh itu, sesiapa yang berharap akan pertemuan dengan TUHANnya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada TUHANnya;" –Surah al-Kahfi: 110ALLAH Adalah TUHAN Yang DitakutiFirman ALLAH Ta'ala:(bermaksud): "Takutkah kamu kepada mereka itu (sehingga kamu tidak mahu memeranginya), ALLAH jualah yang lebih berhak kamu takuti,, jika benar kamu orang-orang yang beriman?" –Surah al-Taubah: 13Firman ALLAH lagi:(bermaksud): "Orang-orang yang menyampaikan risalah ALLAH serta mereka takut melanggar perintahNYA, dan mereka pula tidak takut kepada sesiapa pun melainkan kepada ALLAH. Dan cukuplah ALLAH menjadi Penghitung" –Surah al-Ahzab: 39ALLAH Adalah TUHAN Yang Disembah ALLAH adalah TUHAN yang selayaknya disembah dan diabdikan diri dengan sebenar-benarnya. Inilah tujuan asas diutuskan para rasul agar menyampaikan risalah tauhid supaya manusia hanya menyembah ALLAH dan tidak mensyirikkan-NYA dengan sesuatu apa pun. Firman ALLAH Ta'ala:(bermaksud): "Wahai sekalian manusia! Sembahlah TUHAN kamu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa." –Surah al-Baqarah: 21Firman ALLAH lagi:(bermaksud): "Dan sesungguhnya KAMI telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): "Hendaklah kamu menyembah ALLAH dan jauhilah Taghut". –Surah al-Nahl: 36(bermaksud): "Dan KAMI tidak mengutus sebelummu (wahai Muhammad) seorang Rasul pun melainkan KAMI wahyukan kepadanya: "Bahawa sesungguhnya tiada tuhan (yang berhak disembah) melainkan AKU; oleh itu, beribadatlah kamu kepadaKU." –Surah al-Anbiya: 25 Dalam satu hadis Rasulullah s.a.w bersabda:فَإِنَّ حَقَّ اللَّهِ عَلَى الْعِبَادِ أَنْ يَعْبُدُوهُ وَلا يُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا - متفق عليهMaksudnya: "Maka sesungguhnya hak ALLAH ke atas hamba-hamba bahawa mereka menyembah-NYA dan tidak mensyirikkan-NYA dengan sesuatu apa pun.." -Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim.Nas-nas daripada al-Quran dan Sunnah yang menjelaskan perkara ini terlalu banyak. Maka memadai dengan apa yang telah dibawakan di atas. InsyaALLAH pada keluaran yang seterusnya, kita akan membincangkan pula apakah yang tanggungjawab dan kewajipan yang mesti kita laksanakan setelah kita mengaku bahawa hanya ALLAH sahajalah TUHAN yang selayaknya disembah dengan pengertian yang sebenar-benarnya. Wallahu'alam.

No comments: